25 orang pengasas Kompeni Percubaan Tentera Darat
Bagi menyahut seruan untuk mempertahankan ibu pertiwi, lebih dari seribu pemuda-pemuda Melayu tampil dari pelusuk tanahair telah tampil menawarkan khidmat mereka, tetapi hanya 25 orang sahaja yang berjaya dipilih sebagai pengasas Kompeni Percubaan Pasukan Askar Melayu. Mereka telah diarahkan untuk melapor diri ke Haig Lines (sekarang IPDA), Port Dickson untuk memulakan latihan pada 1 Mac 1933.
Skuad Pertama ini telah menjalankan latihan dengan gigih dan penuh tabah, dan pihak pegawai-pegawai British, selaku jurulatih sangat berpuas hati dengan kebolehan, kecekapan serta semangat keperwiraan yang ditunjukkan. Pada pertengahan tahun 1934, Kompeni Percubaan telah diistiharkan sebagai berjaya dengan cemerlangnya dan layak diperbesarkan ke satu batalion yang lengkap. Seterusnya buat julung kali, pada 4 Nov 1936, seramai empat pemuda anggota Skuad Pertama telah ditauliahkan sebagai pegawai dengan pangkat Leftenan Muda. Mereka adalah No. 8 Ariffin bin Haji Sulaiman, No. 12 Ibrahim bin Sidek, No 13 Ismail bin Tahar dan No. 25 Raja Lope Nor Rashid bin Raja Abdul Rahman.
Dengan tercetusnya peprangan di Eropah pada 3 Sep 1939, latihan anggota Askar Melayu telah dipertingkatkan dan kekuatannya diperbesarkan. Pada 1 Dis 1941, Batalion Kedua Askar Melayu telah ditubuhkan bagi menghadapi serangan Tentera Jepun yang sedang mara. Kompeni A, Batalion Kedua adalah unit Askar Melayu pertama menentang Tentera Jepun yang mendarat di Pantai Cinta Berahi (sekarang Pantai Cahaya Bulan), Kelantan pada 8 Dis 1941. Kekuatan Tentera Jepun yang berlipat ganda telah memaksa Kompeni tersebut berundur ke Kuala Krai dan seterusnya Singapura. Di Singapura, Batalion Pertama dan Kedua Askar Melayu telah berjuang bersama Tentera British menentang kemaraan musuh. Askar Melayu telah berjuang dengan penuh semangat di sekitar kawasan Pasir Panjang, Buona Vista, Labrador dan Alexander.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan