PERINTAH ULUNG
BATALION KE – 5 REJIMEN SEMPADAN
LT KOL MD YUSOF BIN SEBLI
KAT AMW PJM lmt MSc (UPM) ADBM (Wales) DSDS (UM)
Bismillahirrahmanirahim
Assalamulaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Alhamdulillah, segala pujian dan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan izin dan inayahnya, saya telah diberi mandat untuk menerajui Batalion Ke – 5 Rejimen Sempadan mulai 28 Januari 2009 bersamaan 1 Safar 1430H yang lalu.
Izinkan saya secara peribadi merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada YBhg Leftenan Kolonel Mohd Tahar bin Abdul Razak – Mantan Pegawai Memerintah ke- 17 dan 16 Mantan-mantan Pegawai Memerintah yang lepas, di atas segala sumbangan bakti yang membawa kepada kecemerlangan dan kejayaan pasukan.
Saudara-saudara yang saya kasihi sekalian,
Pasukan ini telah melalui evolusi yang selaras dengan tuntutan dan keperluan semasa. Evolusi daripada Batalion 305 Infantri Askar Wataniah kepada Batalion Ke – 5 Rejimen Sempadan, merupakan testimoni atau pengiktirafan kepada pengorbanan, kesetiaan dan kecemerlangan yang telah dicapai oleh setiap warga pasukan ini. Bagi meneruskan kesinambungan kejayaan dan amanat tersebut, marilah saudara-saudara bersama-sama saya untuk merealisasikan visi dan misi yang telah digariskan.
Segala kecemerlangan dan kejayaan ini bukan hanya terletak di bahu Pegawai Memerintah sahaja, malah dipikul bersama oleh semua peringkat warga pasukan. Justeru itu, saya memohon supaya sokongan yang sama dapat dihulurkan kepada saya disepanjang saya menerajui pasukan ini. Saya telah menggariskan beberapa perkara yang perlu diberi penekanan, diterap dan dilaksanakan oleh setiap warga pasukan ini, seperti berikut:
Pertama – Meningkatkan Tahap Profesionalisme. Setiap warga haruslah mempunyai tahap pengetahuan asas ketenteraan dan mengetahui peranan dan tugas masing-masing dengan terperinci. Pengetahuan asas ini merangkumi semua aspek samada operasi, latihan, pentadbiran dan logistik. Kemahiran di dalam pengendali senjata dan peralatan serta aset ketenteraan perlu dititikberatkan. Kemampuan berfikir secara terbuka, kreatif dan bersifat inovatif serta boleh bertindak didalam apa juga keadaan. Tahap profesionalisme yang tinggi hanya akan dapat dicapai dengan adanya kesedaran dan sikap yang positif pada setiap warga melalui kursus kerjaya dan fungsional yang dihadiri. Disamping meningkatkan tahap pengetahuan dan kualiti kepimpinan di semua peringkat kepimpinan atasan sehingga ke peringkat pemimpin rendah.
Kedua - Peningkatan Prestasi Gerakan. Pasukan ini telah mencapai prestasi yang begitu cemerlang dalam tugas-tugas gerakan. Bagi meneruskan kecemerlangan dan kesinambungan ini, saya berkehendakkan semua peringkat warga memberi tumpuan khusus kepada peningkatan pengetahuan dalam pelaksanaan tugas di medan. Setiap warga mestilah bersikap jujur dan ikhlas dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. Sesuai dengan motto Setia Waspada, tahap kesetiaan dan kesiapsagaan dalam melaksanakan tugas gerakan mestilah sentiasa diutamakan sama ada di peringkat individu, platun, kompeni mahupun batalion. Semua persenjataan, peralatan dan jentera mestilah boleh guna dan siap sedia sebilang masa.
Ketiga – Memperkasakan Latihan. Konsep, peranan dan penugasan Rejimen Sempadan kini telah memberi ruang kepada pasukan untuk memberi tumpuan kepada aspek latihan dan pentadbiran di pengkalan. Justeru itu, saya berkehendakkan semua peringkat pemimpin merancang dan memperkasakan latihan. Setiap warga mestilah melaksanakan kesemua ujian-ujian yang wajib dilaksanakan dan lulus mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Rekod-rekod ujian hendaklah dikemaskini pada sebilang masa. Setiap kompeni dan jabatan juga perlu merangka dan melaksanakan latihan medan dan latihan kepakaran bagi meningkatkan tahap pengetahuan dan profesionalisme individu dan kolektif. Penglibatan sukan dan pertandingan berbentuk ketenteraan haruslah dilaksanakan secara sistematik dan bersungguh-sungguh, demi mencapai kejayaan dalam setiap pertandingan yang disertai. Prestasi sedia ada hendaklah diterus dan dipertingkatkan, manakala semua aset dan tenaga yang ada hendaklah digembelingkan secara maksimum dan inovatif kearah kecemerlangan tersebut.
Keempat – Meningkatkan Pengurusan Sumber Manusia. Pengurusan sumber manusia yang cekap serta telus akan dapat memastikan pasukan sentiasa berada di landasan yang betul dan dapat melaksanakan peranan, tugas dan matlamat yang telah ditetapkan. Saya berkehendakkan aspek berikut diberi perhatian khusus:
· Meningkatkan nilai-nilai keperibadian yang mulia dan pembangunan insan melalui aktiviti kerohanian dan riadah, demi meningkatkan semangat pasukan dan semangat kekitaan (sence of belonging).
· Meningkatkan pematuhan dan penguatkuasaan disiplin ketenteraan melalui Sistem Pemerintahan Rejimental (SPR). Saya tidak akan berkompromi terhadap kes-kes disiplin seperti THTC, Dadah, Jenayah, Lintas Sempadan tanpa kebenaran dan sebagainya.
· Setiap anggota perlu sentiasa peka kepada situasi semasa keselamatan baik dalam negeri mahupun negara jiran dan mampu menilai sebarang kemungkinan yang mungkin akan berlaku. Justeru itu, aspek keselamatan dokumen, aset dan material perlu diberi keutamaan.
· Mewujudkan dan mengeratkan perhubungan baik dengan jabatan dan agensi awam setempat melalui projek seperti jiwa murni bagi meningkatkan imej dan keterampilan pasukan.
· Mengamalkan prosedur saluran pemerintahan yang sediada dan mewujudkan sistem penyampaian maklumat yang tepat dan jelas. Segala maklumat penting dan polisi semasa perlu disampaikan dan diperjelaskan kepada semua lapisan anggota, bagi meningkatkan moral dan semangat anggota.
· Meningkatkan kualiti hidup dan kebajikan anggota serta keluarga seperti memiliki kemudahan rumah sendiri dan komputer serta internet. Setiap anggota perlu membahagikan masa berkualiti bersama keluarga, disamping mengamalkan sikap jimat cermat.
· Mengekal gaya hidup dan kesihatan yang sihat sejahtera. Bagi warga yang menghadapi masalah kesihatan dan BMI yang tinggi, usaha-usaha perlu dilaksanakan untuk mengatasinya.
Kelima – Pengurusan Kewangan dan Logistik yang Cekap. Peruntukan kewangan dan dokongan logistik yang terhad, perlu ditadbir dan diuruskan dengan berhemah supaya tidak berlaku sebarang penyelewengan atau pembaziran. Projek kemudahan infrastruktur dan fasilitas asas akan diteruskan demi untuk keselesaan anggota. Setiap anggota perlu ditentukan untuk mendapat hak peralatan masing-masing bagi membolehkan anggota dapat melaksanakan tugas dengan lebih efektif. Oleh itu, sistem pengurusan kewangan dan logistik perlulah difahami dan dipatuhi oleh setiap pengamal logistik.
Akhir kata, saya memohon setiap warga pasukan ini, bersama-sama saya untuk memperbaharui tekad dan melipatgandakan usaha bagi mencapai matlamat yang saya gariskan. Marilah kita sama-sama berdoa agar pasukan ini menjadi pasukan yang disegani dan terus cemerlang di masa yang akan datang.
Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Setia Waspada
Tiada ulasan:
Catat Ulasan